Gaya Hidup

Cara-cara Menjimatkan Perbelanjaan Melalui Aplikasi E-Panggilan

Kecoh apabila pemandu yang memberi khidmat menerusi aplikasi e-panggilan seperty Grab, EZCab dan MyCar disyaratkan wajib mengambil lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) sejak April lalu, dengan tarikh tamat hari ini, 12 Julai 2019. Pada hari ini, rata-rata ramai yang melaporkan tambang telah naik dan ada ura-ura di media sosial bahawa perkhidmatan e-panggilan belum menyahsenarai semua pemandu yang tiada lesen PSV ini.

Sebagai seorang pengguna Grab tegar, penulis amat risau jika undang-undang ini akan memberi kesan kepada tambang yang dibayar. Setiap tahun, penulis membelanjakan antara RM4,000-RM14,000 untuk perkhidmatan Grab yang merangkumi 90% belanja perjalanan. Di sini, ingin penulis kongsikan cara-cara menjimatkan perbelanjaan perjalanan anda, sekiranya anda pengguna perkhidmatan e-panggilan yang tidak berkenderaan.

1. Merancang perjalanan dan pertemuanĀ 

Semua jenis mesyuarat, perbincangan dan pertemuan boleh dirancang setiap minggu atau setiap bulan untuk meminimumkan jumlah perjalanan. Katakan anda ada mesyuarat dengan dua pelanggan dan perbincangan dengan pembekal selepas itu, anda boleh cuba meyakinkan semua yang terlibat untuk berjumpa di tempat yang sama atau berdekatan.

Ideanya ialah untuk mengurangkan jumlah perjalanan yang anda terpaksa ambil. Tolak-ansur dan perbincangan serta diplomasi amat diperlukan sambil kesanggupan untuk mengatur jadual anda dan kesungguhan untuk menepati waktu.

Anggaran Penjimatan: Pengurangan 30% perjalanan.

2. Memesan makanan

Tinjauan peribadi penulis mendedahkan yang sebahagian besar perjalanan oleh penulis sendiri dilakukan untuk makan malam atau tengahari. Tambang untuk ke kedai makan mungkin RM10 secara purata, untuk satu hala, bermakna RM20 untuk pergi balik, sebelum mengira kos makanan.

Perkhidmatan seperti GrabFood dan FoodPanda, antara lain, berupaya menghantar makanan ke tempat anda untuk harga tambang perjalanan sahaja. Sebagai contoh, satu pesanan nasi ayam ke Chicken Rice Shop ialah dalam lingkungan RM15, termasuk caj penghantaran (lingkungan RM10 untuk makanan, RM5 untuk caj penghantaran, sekiranya ada).

Anda boleh menimbangkan penggunaan penghantaran makanan ini daripada keluar untuk makan.

Anggaran Penjimatan: RM20/hari

3. Merancang pembelian keperluan dapur

Selain memesan makanan, pilihan paling jimat dan sihat sebenarnya ialah memasak dan makan di rumah. Sebagai contoh, tinjauan mudah Pepitih untuk memasak makan tengahari dan malam ayam 200gm, nasi untuk satu hidangan dan sayur yang dimasak ialah dalam lingkungan RM8 atau RM4 untuk setiap hidangan.

Masakan hidangan mudah hanya mengambil masa setengah jam untuk nasi, ayam dan sayur. Anda telah berjaya berjimat sebanyak RM10-15 setiap kali anda makan dengan hanya meluangkan 30 minit untuk memasak (dan membasuh peralatan).

Pilihan ini juga memastikan masakan dibuat dengan kawalan garam dan minyak yang memastikan tahap kesihatan yang lebih terjamin.

Anggaran Penjimatan: RM20-30/hari

4. Meluangkan masa di rumah

Sekiranya anda berkeluarga, mungkin masanya untuk anda meluangkan masa dengan anak-anak di rumah. Kenalpasti minat mereka, kelemahan dan kelebihan dalam pelajaran, serta membina kendiri mereka daripada membawa mereka berjalan ke pusat membeli-belah atau makan angin sambil mencemarkan alam dengan membakar bahan api fosil. Anda juga telah membelanjakan wang untuk sistem hiburan di rumah dan mungkin ini masanya untuk menikmati pelaburan itu.

Untuk yang bujang, anda juga boleh lebih kerap berhibur di rumah atau mengemas rumah dengan lebih kerap.

Anggaran Penjimatan: Pengurangan 20% perjalanan.

Kesimpulannya, walaupun langkah-langkah ini mungkin dapat menjimatkan perbelanjaan perjalanan anda, diharap pihak kerajaan dan perkhidmatan e-panggilan dapat mencari jalan untuk memastikan perkhidmatan e-panggilan yang sudah menjadi keperluan atau utiliti seperti air, elektrik dan Internet, untuk dipermudahkan dan dikawal demi kepentingan dan kesejahteraan semua.

Pepatah Pepitih: Boleh juga menimbangkan pembelian kereta, sekiranya kos tambang e-panggilan meningkat terlalu tinggi. Pepitih akan mengemaskini artikel tentang milikan kereta dan kos penggunaan aplikasi e-panggilan kami yang lepas dalam masa terdekat, selepas kos baru e-panggilan dikenalpasti.

Artikel Berhubungkait

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button