Tiada Lagi Bagasi Masuk Percuma Untuk Tambang Domestik Terendah MAS

Penumpang yang menempah tiket penerbangan di bawah kategori tambang domestik terendah (Economy Lite) daripada syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAS) kini tidak lagi diberikan elaun bagasi masuk secara percuma.
Sebaliknya, mereka hanya diperuntukkan elaun bagasi kabin seberat 7kg sahaja. Penstrukturan elaun bagasi yang baharu ini berkuat kuasa pada 8 April yang lalu.
Walau bagaimanapun, untuk penerbangan ke Madinah dan Jeddah, elaun bagasi percuma kekal pada 30kg untuk semua tambang kelas ekonomi.
Selain itu, pemegang “loyalty card” Enrich Silver, Gold dan Platinum akan menikmati elaun bagasi tambahan sebanyak 5kg, 10kg dan 20kg masing-masing, di samping manfaat elaun bagasi tambahan yang diberikan mengikut tahap keahlian mereka.
Elaun tambahan tersebut turut diperuntukkan kepada semua ahli Oneworld yang memegang status keahlian yang setara dengan Enrich Silver, Gold atau Platinum.
Menurut MAS dalam sebuah kenyataan, penyelarasan pada kelas ekonomi dilakukan bagi memberi lebih banyak pilihan yang fleksibel kepada pelanggannya.
Pada bulan Ogos tahun lepas, MAS telah pun mengurangkan elaun bagasi untuk penerbangan domestik kepada 20kg daripada 30kg.
Pepatah Pepitih: Semua perjalanan mesti dirancang untuk menjimatkan kos dan menyusun barangan dalam beg pada kadar yang dibenarkan ialah satu kemahiran yang wajar ada pada setiap orang dewasa.
Gali Lagi: