Dapatkan Rumah Banglo 1000 Kaki Persegi Dengan Hanya RM108,000!

Mungkin ramai yang mengeluh dengan harga hartanah dan jenis hartanah yang mereka mampu beli. Satu flat kos rendah di sesetengah kawasan bandar boleh mencecah ratusan ribu ringgit dan sebuah apartment biasa, dan bersaiz kecil mampu mencecah harga RM400,000.
Namun, tahukah anda, anda boleh mendapatkan sebuah banglo bersaiz 1,000 kaki persegi dengan hanya membayar dalam lingkungan RM108,000? ‘Rahsia’ yang bukan rahsia ini ialah skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mesra Rakyat Plus (RMR Plus) oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad atau SPNB. Syarat pentingnya cuma satu – anda perlu ada tanah sendiri. Selain itu, anda mestilah 18 tahun ke atas dan menjadi warganegara Malaysia.
Berikut ialah syarat-syarat kelayakan Skim RMR:
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 18 hingga 65 tahun*.
- Pendapatan kasar seisi rumah di antara RM750 sehingga RM3,000 sebulan.
- Pemohon/Pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna.
- Tanah/tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas daripada gadaian/sekatan ke atasnya. Jika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah yang dicadangkan.
- Keluasan tanah tidak kurang daripada 2,800 kps (0.06 ekar).
- Tertakluk kepada peruntukan dan kelulusan pinjaman melalui SPNB.
SPNB telah melancarkan skim-skim ini sejak beberapa tahun lalu. Asalnya ialah RMR yang bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah (sehingga RM3,000 sebulan) untuk membina rumah di atas tanah mereka sendiri. Beberapa pilihan rekaan sedia ada ditawarkan, terpulang kepada kemampuan. Rumah akan dibina oleh SPNB malah beberapa peralatan dalam rumah juga diberikan sekali dengan rumah itu. Harga rumah RMR ialah sekitar RM65,000!
Sehingga bulan Ogos 2018, Skim RMR telah menerima 94,258 permohonan dan telah menyiapkan 43,295 unit.
Carta Pai: Pecahan permohonan Skim RMR.
Carta: Taburan rumah RMR yang telah siap dibina di Malaysia
RMRPlus pula untuk mereka yang tidak memenuhi kriteria Skim RMR. Ini bermakna kriteria pendapatan bulanan maksima sebanyak RM3,000 tidak menjadi halangan. Tinjauan Pepitih ke Home Ownership Campaign baru-baru ini mencerahkan keadaan ini apabila diberitahu bahawa tiada syarat pendapatan maksima untuk RMR Plus.
Berikut syarat-syaratnya menurut laman web SPNBMesra:
- Warganegara Malaysia
- Berumur 18 tahun ke atas
- Mempunyai tanah sendiri atau merupakan salah seorang pemilik, atau mendapat kebenaran bertulis daripada tuan tanah
- Keluasan tanah minima 3,750 kps (50′ x 75′) atau 0.08 ekar



