Berita

Faktor Kewangan Punca Utama Perceraian di Malaysia

Setiap pasangan yang ingin berumah tangga mengimpikan perkahwinan yang berkekalan. Namun kajian mendapati lebih 20 peratus pasangan Islam mengalami masalah kewangan dalam usia lima tahun perkahwinan, yang menjurus kepada masalah perceraian khususnya di kalangan pasangan muda.

Timbalan menteri Hannah Yeoh baru-baru ini juga turut mendedahkan daripada 6,901 kes perceraian pasangan bukan Islam, sebanyak 2,971 kes adalah berpunca daripada faktor kewangan.

Jelas di sini bahawa kestabilan ekonomi rumah tangga, bertunjangkan kewangan yang kukuh, memainkan peranan penting dalam institusi perkahwinan.

Pihak kerajaan sedang merangka sebuah kertas kerja bagi memastikan kemahiran celik kewangan dapat diterapkan dengan lebih efektif dalam kursus-kursus pra-perkahwinan.

Penulis berpendapat setiap pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga perlu mengambil pendekatan realistik dengan melengkapkan diri dengan ilmu kewangan dan bukan sekadar bergantung kepada konsep rezeki semata-mata.

Pasangan perlu berterus-terang dengan situasi kewangan masing-masing, terutamanya hutang individu, kerana bebanan yang tidak diketahui dapat mengeruhkan lagi keadaan.

Dengan bersikap terbuka, pasangan dapat membuat perancangan masa panjang dari awal untuk bersedia menghadapi sebarang masalah pada masa hadapan.

Selain itu, mereka perlu mempelajari kaedah pengurusan kewangan bersama dan pengurusan hutang bagi memantapkan ekonomi rumah tangga.

Menurut  Pengurus Besar Bahagian Operasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Nor Fazleen Zakaria, pasangan disarankan untuk elakkan daripada berhutang untuk berkahwin, sebaliknya merangka perancangan untuk perbelanjaan selepas perkahwinan.

Jika perlu, wujudkan akaun bersama untuk membuat anggaran perbelanjaan bulanan keluarga. Paling utama, pasangan perlu memulakan amalan menyimpan wang untuk sebarang kemungkinan. Selepas perkahwinan, terdapat pelbagai perbelanjaan luar jangka seperti kos perubatan.

Pasangan perlu menerapkan rasa tanggungjawab dalam menjalani kehidupan dalam perkahwinan dan tidak terpengaruh dengan trend kahwin tanpa sebarang pelan yang kukuh.

Sekiranya terdapat masalah kewangan, pasangan dinasihatkan supaya tidak terus berputus asa. Sebaliknya dapatkan pandangan pakar berkaitan atau rujuk kepada agensi kewangan seperti AKPK yang mungkin dapat memberi cara penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Alam perkahwinan memerlukan tanggungjawab, komitmen dan toleransi antara satu sama lain. Semoga para pasangan dapat merancang dan mengamalkan tabiat kewangan yang baik demi perkahwinan yang berkekalan.

Pepatah Pepitih: Untuk pengetahuan kewangan asas dan pertengahan, anda bolehlah membaca Pepitih

Gali Lagi:

  1. Laporan Sinar Harian: Klik Sini
  2. Laporan Harian Metro: Klik Sini
  3. Laporan Utusan Malaysia: Klik Sini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button