Gaya Hidup

Berjimat di Bazar Ramadan?

Bagaimana mengawal perbelanjaan dan mengurangkan pembaziran di Bazar Ramadan

Ada teori yang mengatakan jangan sesekali pergi membeli-belah dengan perut kosong. Jika hendak beli baju, kita mungkin akan balik dengan perabut. Seakan-akan perut kosong mempengaruhi cara kita berfikir – kita membuat keputusan yang pelik dan mudah tewas kepada nafsu – lebih-lebih lagi di bazar Ramadan.

Akibatnya, kita membeli terlalu banyak makanan dan membazirkan wang, membahayakan kesihatan dan kadangkala, membazirkan makanan itu sendiri yang terpaksa dibuang setelah kita gagal menghabiskannya.

Sebaiknya jangan pergi membeli belah bila perut kosong. Elok makan dulu. Tetapi ini tidak mungkin pada bulan Ramadan!

Pepitih ada beberapa tip yang boleh diguna untuk berjimat di bulan ini bila kita ke bazar Ramadan.

 

  • Bawa mangkuk tingkat.

 

Jangan beli lebih daripada apa yang boleh diisi di dalam mangkuk tingkat. Selalunya ada tiga, empat atau lima mangkuk, yang selalunya cukup untuk lauk, sayur dan kuih-muih.

Kita mesti tanam disiplin, jika sudah penuh semua mangkuk, kita balik. Jangan beli lagi, walaupun ternampak juadah baru. Kalau teringin lauk atau kuih yang lain, datang esok dan belilah. Para peniaga di Bazar Ramdan selalunya berniaga sebulan, dan jika panjang umur, bolehlah rasa apa yang kita hendak.

Mangkuk tingkat juga baik untuk alam sekitar, sebab mengurangkan penggunaan bekas plastik dan Styrofoam.

 

  • Bila nampak, jangan beli terus.

 

Bazar Ramadan selalunya mempunyai banyak gerai dan penjaja menjual bermacam-macam makanan. Ada ketika, bila kita nampak, kita hendak.

Ada baiknya jika ada masa, terutama di awal Ramadan, untuk kita meninjau semua gerai dari satu hujung bazar ke hujung yang lain. Lihatlah apa yang dijual, dan fikirkan apa yang hendak di makan. Kemudian, patah balik dan carilah  gerai mana yang menjual makanan yang kita hendak sangat pada hari itu.

Jika kita beli apa yang nampak, ada kemungkinan kita akan beli banyak jenis – baru beli ayam percik, depan sana ada ikan bakar, dan di hadapan lagi gulai patin tempoyak.  Sedar-sedar ada empat jenis lauk!

 

  • Beli untuk seorang.

Jika berkeluarga, elakkan membeli mengikut jumlah ahli. Jika suami nak popiah basah, isteri suka karipap dan anak suka roti john, elakkan membeli tiga popiah, tiga karipap dan tiga roti john.

Besar kemungkinan akan ada pembaziran. Sama ada karipap tidak habis, atau kesemuanya tidak habis.

Begitu juga dengan lauk. Jika seorang hendak kari ayam, yang lain hendak daging masak kicap dan ada pula hendak sambal sotong, belilah untuk seorang untuk setiap lauk tadi. Jangan beli untuk tiga orang, kerana selalunya tidak habis.

 

  • Elakkan membeli set.

Selalunya, kuih-muih akan dijual dalam set – RM5 untuk lima, RM2 untuk tiga dan sebagaianya. Bila tengah lapar memang nampak macam boleh habiskan semua. Tetapi besar kemungkinannya akan membazir sahaja.

Kalau lima biji untuk RM5, cuba beli dua biji. Walaupun rasanya rugi jika RM3 untuk dua biji, sebenarnya kita jimat RM2 dan tidak akan membazir.

 

  • Bajet

Sebelum pergi, tentukan berapa yang hendak dibelanja di Bazar Ramadan – RM20, RM30, RM50?

Kadang-kadang tanpa disedari, kita tiba-tiba berbelanja banyak. Kalau RM20 sehari, hampir RM600 akan dibelanjakan di bulan ini di Bazar Ramadan.

Anggarkan berapa kita hendak belanja untuk berbuka untuk sebulan Ramadan, dan tentukan jumlah perbelanjaan harian kita tidak akan melebehi jumlah itu.

Kuih di bazar ramadan

 

  • Masak di rumah

Paling jimat ialah masak di rumah, jika ada masa.

Sekurang-kurangnya masak nasi, atau goreng ikan atau ayam atau sayur atau telur dadar.

Kita ke Bazar Ramadan untuk juadah yang kita susah hendak dibuat, ataupun susah dijumpa. Kuih agak remeh untuk dibuat jadi eloklah beli. Begitu juga ayam percik atau rojak pasembor.

Kalau boleh dibuat dengan mudah, masaklah di rumah dan penjimatan adalah amat ketara.


Pepatah Pepitih: Lapar mata lebih mendatangkan pembaziran, daripada lapar perut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button