Tanya Pepitih: Kenapa Saya ‘pokai’ di hujung bulan?

Soalan: Hampir di setiap penghujung bulan saya akan mendapati diri saya ‘pokai’, bagaimana saya boleh mengatasi masaalah ini?
Jawapan: Sindrom ‘pokai’ di hujung bulan bukannya perkara yang pelik. Banyak orang menghadapi perkara ini, terutamanya bila tiba-tiba ada keperluan kecemasan.
Tetapi jika anda menghadapi masalah ini setiap bulan, maka ini ialah masalah struktural, iaitu bagaimana anda mengurus kewangan anda. Masalah ini bermakna, walaupun anda mendapat kerja yang lebih baik, dan gaji atau pendapatan bertambah, masalah ‘pokai’ hujung bulan besar kemungkinan akan berulang.
Ada pepatah berbunyi ‘ukur baju di badan sendiri’. Juga ada, ‘lebih sudu daripada kuah’. Kita juga jangan terlalu ghairah tentang sesuatu yang diluar kemampuan kita.
Kedua peribahasa ini boleh menjadi pedoman apabila kita menentukan dan mengurus perbelanjaan kita.
Langkah pertama untuk kita menangani masaalah pokai di hujung bulan ialah dengan membuat satu catatan terperinci perbelanjaan bulanan kita.
Contohnya, kita boleh mulakan catatan perbelanjaan di permulaan bulan, atau selepas gaji. Setiap perbelanjaan, tidak kira minum teh tarik, beli baju, sewa rumah, minyak kenderaan, tambang bas, bayar hutang dan lain-lain, perlu dicatit dengan tepat dan teliti.
Setiap ringgit mesti dikira, dan ke mana perginya mesti diketahui.
Di hujung bulan, kita kaji catatan, dan bahagikan perbelanjaan kita kepada dua kategori – yang “perlu”, dan yang “tidak perlu”.
Yang “perlu”, contohnya bayar sewa atau ansuran beli rumah, hantar wang kepada ibubapa, atau bayar kereta, belanja dapur, dan sebagainya.
Adakah perlu beli baju baru, bercuti, makan dan minum di restoran, telefon baru, langganan televisyen, dan lain-lain? Jika tidak, maka itu masuk kategori “tidak perlu”.
Di hujung bulan, cuba kita jumlahkan perbelanjaan di kedua-dua kategori.
Kita faham ada perbezaan dari seorang ke seorang mengenai apa yang perlu dan apa yang tidak. Tetapi pada amnya, kita akan dapat bersetuju tentang perkara-perkara utama.
Contohnya, makan di luar lebih mahal daripada masak di rumah. Ataupun, barang berjenama lebih mahal daripada yang tiada jenama.
Mula-mula kita perlulah mengkaji senarai perbelanjaan yang “tidak perlu”. Apa yang kita boleh kurangkan – sama ada selalu keluar makan minum di restoran, atau membeli pakaian, ataupun menonton wayang.
Daripada senarai “tidak perlu”, cuba kurangkan antara 20 peratus dan 25 peratus perbelanjaan kita. Boleh makan di kedai, tetapi kurangkan. Jika suka minum kopi mahal, kurangkan. Jika selalu membeli pakaian, kurangkan. Rajinkan naik pengangkutan awam, bawa makanan ke tempat kerja, berhenti atau kurangkan merokok dan lain-lain.
Tengok perbelanjaan mana yang boleh dikurangkan, dan cuba kurangkan.
Untuk perbelanjaan yang perlu, cuba kurangkan sebanyak 5 peratus. Contohnya, membeli barang makan secara borong, berkongsi kenderaan (car pooling), bertukar jenama barangan, dan lain-lain.
Dengan mengkaji perbelanjaan, selalunya kita akan dapat mengesan yang mana tidak banyak manfaat dan hanya menambah perbelanjaan kita.
Tujuan mengkaji perbelanjaan ialah untuk menentukan perkara mana yang membuat anda pokai di hujung bulan, dan sama ada ia boleh dikurangkan atau pun dihapuskan.
Jika perbelanjaan kita dapat dikurangkan, kita juga mungkin dapat menambah simpanan, terutamanya untuk kecemasan.
Tetapi, jika setelah dikaji, masih tiada ruang untuk penjimatan, maka langkah lebih drastik perlu diambil. Contohnya, pindah ke rumah yang lebih murah, cari kerja baru, jual kenderaan, dan lain-lain.
Pepatah Pepitih:Syarat utama ialah kita mesti jujur di dalam mengklasifikasi perbelanjaan. Perlu, atau tidak perlu.