Pas MyCity untuk Perjalanan Tanpa Had Dalam Masa Singkat

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah memperkenalkan pas istimewa untuk perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail dan Bas Rapid Transit (BRT) aliran Sunway.
Pas MyCity sehari ini bernilai RM15 dan tiga hari pula berharga RM45, akan dijual dengan menggunakan kad-kad perjalanan tanpa tunai seperti Touch ‘N Go dan juga kad tambang Rapid sedia ada.
Untuk pembelian kali pertama pula (tanpa kad sedia ada), pas sehari MyCity 1-Day boleh didapati dengan harga RM25 manakala pas MyCity 3 hari berharga RM55.
Anda boleh menggunakan kad pengenalan MyKad dengan fungsi Touch ‘n Go untuk pas MyCity, tetapi perlu memastikan ada baki minimum RM5 dalam kad sebelum itu.
Pemegang pas MY100 atau MY50 Smart Package yang sedia mendapat perjalanan tanpa had di bawah pakej itu hanya boleh membeli pas MyCity setelah pakej mereka tamat tempoh.
Pas ini turut dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam setiap pembelian.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias dilaporkan berkata pas ini direka bagi kemudahan pengguna di bandar raya untuk perjalanan tanpa had dalam tempoh masa yang singkat
Pas ini direka berdasarkan permintaan daripada pelancong serta golongan bukan pengguna biasa.
Kedua-dua pas ini boleh digunakan bermula 22 April lalu.
Pepatah Pepitih: Selain pelancong, mereka yang datang ke Kuala Lumpur untuk tempoh terhad boleh memanfaatkan kemudahan ini untuk menjimatkan kos pengangkutan.
Gali Lagi: