Simpanan

Selamatkan Kenyalang. Menyimpan Secara Rambang Sedikit Demi Sedikit Boleh Membantu Mencapai Matlamat Kita

Seorang rakan memulakan kempen “Selamatkan Penyu” pada permulaan tahun dengan menyimpan setiap not RM20 (ada gambar penyu di belakangnya) yang dia temui dalam urusan hariannya.

Contohnya, jika dia membayar bil atau membeli barang dengan not RM50, dan baki yang dikembalikan ada not RM20, maka dia tidak akan membelanjakannya. Dia akan menyimpan duit itu di dalam kotak di almari baju.

Kadang-kadang, mesin ATM memberinya lima keping duit RM20 – dia juga akan menyimpan kesemuanya.

Tujuan dia menyimpan ialah untuk membawa keluarganya bercuti ke luar negara. Di akhir tahun, dia mendapati hampir RM10,000 di dalam kotak almarinya!

Dia terkejut dengan jumlah yang besar ini, kerana dia sengaja tidak mahu mengira jumlah yang dikumpul, hinggalah hujung tahun. Simpanannya secara purata, ialah lebih kurang RM27 sehari.

Oleh sebab dia membuat tabung untuk percutian, dan dia cekal untuk tidak lari daripada janjinya untuk “menyelamatkan penyu”, maka dia tidak perlu mengeluarkan duit daripada simpanan yang lain, atau meminjam melalui kad kredit.

Rakan saya memang agak berkemampuan, tetapi jika kita adakan kempen “Selamatkan Kenyalang”, iaitu imej burung yang ada di belakang not RM5, kita juga akan terkejut jumlah yang mungkin terkumpul.

Contohnya, jika semua duit hijau kita masukkan ke dalam kotak simpanan kita, setahun mungkin kita boleh dapat hampir RM2,000. Cukup untuk belanja tambang pergi balik ke pulau Jaeju di Korea untuk dua orang.

Kadang-kadang rasa macam duit terpijak.

Pepatah pepitih: Kalau kita simpan dengan berdisiplin, RM5 sehari atau RM150 sebulan, dan setiap bulan kita laburkan ke dalam ASB, (anggaran bonus dan dividen 6 peratus setahun)  maka dalam 5 tahun simpanan akan menjadi hampir RM10,600, dalam 10 tahun RM25,000 dan dalam 20 tahun akan menjadi hampir RM70,000.

Artikel Berhubungkait

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button