Geran Untuk Usahawan Muda oleh SSM Masih Tersedia Tetapi Awas – Ada Yang Cuba Menipu

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengumumkan geran untuk usahawan muda memulakan perniagaan bernilai jutaan ringgit sejak beberapa tahun lalu. Sebahagian besar geran ini masih belum dituntut. Namun, ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menipu usahawan dengan berpura-pura sebagai wakil SSM dan mengutip wang daripada mereka.
Antara geran yang ditawarkan ialah Skim 1Pelajar 1Perniagaan atau One Student One Business yang masih berbaki RM7.4 juta daripada jumlah asal RM10 juta. Skim ini mensubsidikan pendaftaran perniagaan oleh pelajar institut pengajian tinggi yang lebih tua daripada 18 tahun. Setakat ini, lebih 38,000 pelajar telah mendaftar perniagaan mereka.
Sementara itu, ada juga dilaporkan tentang BizGrant – dana untuk membantu usahawan muda di Malaysia yang berbaki RM6.3 juta daripada peruntukan asal RM10 juta. Geran ini membantu usahawan dengan membeli barangan untuk kegunaan perniagaan bernilai RM3,000. Lebih seribu usahawan telah menerima bantuan.
Namun, ada pihak ketiga yang cuba menyasarkan usahawan dengan berkata mereka ialah wakil SSM dan ingin mengutip yuran pemprosesan dana keusahawanan. SSM telah mengeluarkan kenyataan di laman web mereka, memberi amaran kepada semua tentang kegiatan pihak ini.
Pihak SSM mengingatkan orang ramai supaya menyemak dahulu kesahihan sesuatu tawaran dana atau geran dengan pihak berkuasa yang berkaitan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.
Pepatah Pepitih: Ada pelbagai jenis geran atau dana untuk usahawan daripada SSM dan pelbagai agensi lain. Sila ambil tahu dengan pergi ke laman web mereka, atau sila ikuti laman web bermaklumat seperti Pepitih.com untuk mendapat hebahan terkini.
Gali Lagi:
- Notis amaran oleh SSM: Klik Sini
- Laporan The Edge tentang RM7.4 juta dana 1Pelajar 1Perniagaan belum digunakan: Klik Sini
- Penerangan SSM tentang 1Pelajar 1Perniagaan: Klik Sini
- Pelajar boleh mendaftar perniagaan mereka di bawah skim 1Pelajar 1Perniagaan: Klik Sini
- Laporan Sinar Harian tentang BizGrant SSM: Klik Sini
- Untuk mengetahui lebih lanjut tentang SSM: Klik Sini