
Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyeru orang ramai supaya berwaspada dengan sebuah sindiket yang menggunakan nama LHDN untuk menipu orang ramai kononnya mereka mempunyai isu pematuhan cukai yang perlu diselesaikan.
Sindiket yang menggunakan media sosial sebagai platform komunikasi ini bukan sahaja memaklumkan ‘masalah pematuhan cukai’ yang dihadapi oleh mangsa, malah turut menawarkan khidmat membantu menyelesaikan ‘masalah pematuhan cukai’ tersebut dengan caj tertentu yang perlu dibayar.
LHDN memaklumkan dalam sebuah kenyataan media bahawa ada juga golongan yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah untuk mengugut pembayar cukai dan memaksa mereka untuk menjelaskan ‘amaun cukai yang tertunggak’ kepada LHDN melalui akaun milik mereka.
“Harap maklum bahawa maklumat percukaian setiap pembayar cukai adalah sulit dan dijamin kerahsiaannya menurut Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan1967.
“Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif dan setiap pegawai LHDNM tidak dibenarkan untuk membincangkan maklumat percukaian setiap pembayar cukai dengan pihak-pihak yang tidak berkenaan,” terang LHDN melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada hari Selasa, 16 April 2019.
“Di samping itu, setiap penyelesaian isu pematuhan cukai dengan LHDNM tidak menggunakan orang tengah selain daripada Ejen Cukai Bertauliah yang dilantik. Manakala pembayaran baki cukai tertunggak pula hendaklah dibuat terus ke akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN).”
Sekiranya orang ramai mempunyai keraguan terhadap sebarang surat, e-mel, mesej atau pun panggilan telefon yang kononnya dari atau mewakili LHDNM, dapatkan pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil CareLine di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer (CCO) di setiap cawangan LHDNM.
Senarai CCO LHDNM boleh diakses melalui portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my.
Pepatah Pepitih: Dapatkan maklumat sebenar dan jangan mudah terpedaya dengan sesiapa yang mengaku wakil LHDN.
Gali Lagi: