Perlindungan PIDM Percuma, Waspada Penipuan

Perlindungan yang diberikan kepada pendeposit bank, sijil takaful dan pemegang polisi insurans oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) adalah automatik dan percuma tanpa sebarang caj.
Oleh itu, pengguna bank terutamanya diminta waspada sekiranya diminta membayar bagi perlindungan PIDM dan laporkan terus kepada pihak berkuasa jika ada pihak yang berbuat sedemikian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PIDM Rafid Azuan Abdullah, terdapat peningkatan aduan daripada orang ramai yang diminta membayar perlindungan PIDM tahun ini.
Dalam kebanyakan insiden, pengadu diminta membayar untuk “mengaktifkan” perlindungan untuk menerima dana, biasanya dalam bentuk pinjaman, daripada pihak ketiga.
“PIDM ingin orang ramai mengetahui bahawa perlindungan PIDM adalah automatik dan bebas untuk pendeposit. Maklumat ini boleh didapati di laman web kami, dan dalam iklan dan brosur kami. Kami meminta orang ramai supaya berhati-hati dan memberitahu pihak berkuasa berkaitan jika diminta membayar perlindungan PIDM, “kata Rafid dalam sebuah kenyataan media.
Institusi ahli PIDM termasuk semua bank perdagangan konvensional dan bank Islam, syarikat insurans; kedua-dua am dan kehidupan, dan pengendali Takaful.
Orang ramai dinasihatkan memanggil pusat panggilan PIDM di 1800-88-1266 atau e-mel info@pidm.gov.my untuk penjelasan. Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat kewangan mereka, khususnya akaun bank atau butiran kad kredit, kepada pihak ketiga.
PIDM adalah agensi Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta PIDM untuk mentadbir Sistem Insurans Deposit (DIS) dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS).
Pepatah Pepitih: Awas pelbagai skim penipuan yang makin bercambah baru-baru ini.
Gali Lagi: