Aduan Penipuan E-Dagang Semakin Meningkat

Pihak kementerian menerima kira-kira 2,500 aduan setiap bulan dan 26 peratus daripadanya ialah laporan penipuan e-dagang.
Saifuddin dilaporkan berkata sekiranya penipuan dalam talian tidak ditangani, ia akan menjejaskan keyakinan pengguna.
“Kini aduan nombor satu oleh pengguna adalah penipuan dalam talian, yang merangkumi barangan yang dibeli dalam talian tetapi tidak sampai kepada pengguna, memesan barangan yang tidak diiklankan, menerima barangan yang berbeza dan menerima barangan yang rosak,” katanya dalam sebuah laporan Utusan Malaysia.
Tambahnya lagi, pelbagai usaha perlu dilakukan demi meningkatkan keupayaan negara dalam memerangi kes penipuan seumpama ini supaya keyakinan pengguna tidak terjejas.
Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan, tegas Saifuddin, pengguna juga mesti memainkan peranan mereka dengan sentiasa berwaspada terhadap tanda penipuan dan melaporkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan kepada platform e-dagang atau kementerian.