Berita

KWSP Memperkenalkan Akaun 3 Untuk #MalaysiaKerja

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan Akaun 3 untuk inisiatif #Malaysiakerja kepada golongan yang layak mulai suku kedua tahun hadapan. Ini bermakna pekerja dan pelajar yang menerima dana di bawah inisiatif ini akan dapat mengeluarkan jumlah itu secara terus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias dilaporkan berkata, akaun baharu itu diwujudkan bagi membolehkan lebihan insentif gaji #MalaysiaKerja dikreditkan ke dalam akaun KWSP individu yang layak di bawah program berkenaan.

Pengenalan insentif gaji itu akan membantu golongan sasaran #MalaysiaKerja menikmati pendapatan boleh guna yang tinggi sepanjang program itu berlangsung memandangkan caruman berkanun sudah ditolak daripada insentif gaji itu.

“Penubuhan Akaun 3 ini adalah untuk menguruskan lebihan insentif gaji bagi mereka yang layak. Pengeluaran Akaun 3 ini boleh dibuat pada bila-bila masa,” beliau dilaporkan berkata selepas pelancaran #MalaysiaKerja di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 (ISWC) baru-baru ini.

Inisiatif #MalaysiaKerja telah diumumkan dalam Belanjawan 2020 bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Inisiatif itu dibahagikan kepada empat golongan sasaran iaitu #GraduanKerja, #WanitaKerja, #WatanKerja dan #PerantisKerja, dengan mereka yang layak berpeluang menikmati insentif gaji sehingga RM500 dan insentif pengambilan pekerja sehingga RM300.

Pepatah Pepitih: Inisiatif #MalaysiaKerja memberikan dana tambahan kepada pencari kerja dan membantu majikan membayar gaji mereka. Jangan sia-siakan dana ini.

Gali Lagi:

  1. Laporan Harian Metro: Klik Sini
  2. Laporan The Malaysian Reserve: Klik Sini
Tag

Artikel Berhubungkait

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button
Close
Close