Tanya Pepitih: Apa Akan Jadi Sekiranya Saya Diisytihar Muflis?

Masalah bankrap/muflis di kalangan rakyat Malaysia, termasuk golongan muda semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Namun, menjadi muflis bukanlah bererti anda telah kehilangan segala-galanya. Lazimnya seseorang yang diisytiharkan muflis akan mempunyai aktiviti yang terhad namun status anda tidak bermaksud anda tidak boleh memiliki kehidupan yang baik.
Berikut merupakan beberapa soalan lazim yang sering diutarakan bagi situasi individu yang telah diisytiharkan muflis oleh pihak berkuasa.
Soalan 1: Bagaimanakah saya boleh diisytihar muflis?
Anda hanya boleh diisytiharkan muflis melalui perintah mahkamah. Terdapat dua kaedah perintah kebankrapan diberikan iaitu sama ada melalui permohonan daripada pemiutang atau anda sendiri secara sukarela mendapatkan perintah membankrapkan diri sendiri.
Soalan 2: Adakah terdapat amaun minimun yang terhutang oleh seseorang individu untuk menjadikannya bankrap?
Amaun minimum yang boleh difailkan pihak pemiutang adalah RM50,000.
Soalan 3: Saya sudah diisytiharkan muflis, apa yang akan berlaku kepada harta saya?
Semua harta hendaklah terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) kecuali yang disenaraikan di bawah Seksyen 48(1)(a)(ii) Akta Kebankrapan 1967. Ini termasuk alat perdagangan dan pakaian keperluan isteri dan anak-anak untuk nilai yang tidak melebihi RM5,000.00. Semua harta yang terletak hak kepada KPI akan dijual dan hasil akan diagihkan kepada pemiutang yang memfailkan bukti hutang.
Soalan 4: Bolehkah seorang bankrap menggunakan kad kreditnya?
Seorang bankrap hanya boleh menggunakan kad kreditnya dengan amaun tidak melebihi RM1,000.00. Sekiranya seorang yang bankrap berniat untuk menggunakan kad kredit melebihi RM1,000.00, dia hendaklah memaklumkan kepada pihak yang memberikan kemudahan kad kredit tersebut atas status kebankrapannya.
Soalan 5: Bolehkah seorang bankrap membuat bayaran terus kepada pemiutang untuk melangsaikan hutangnya?
Seorang bankrap tidak dibenarkan membuat pembayaran terus kepada pemiutang. Bayaran tersebut hendaklah dikreditkan ke dalam estet dan akan diagihkan kepada pemiutang yang telah memfailkan Bukti Hutang.
Soalan 6: Bolehkah bankrap keluar negara?
Tidak, kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada KPI ataupun Mahkamah yang membenarkannya.
Permohonan hendaklah dibuat di cawangan yang mentadbir kes kebankrapan dengan menyertakan dokumen-dokumen sokongan.
Soalan 7: Bolehkah bankrap memindahkan hartanya?
Tidak boleh kerana setelah diisytiharkan bankrap, segala harta dan aset secara automatik terletak hak kepada KPI.
Pepatah Pepitih: Apabila diisytiharkan muflis, hidup anda mungkin menjadi leceh dengan pelbagai kekangan. Elakkan keadaan ini dengan memastikan pembayaran hutang pada waktu yang betul dengan jumlah yang mencukupi, atau pastikan tiada hutang melebihi RM50,000, jika boleh. Perlu diingat, sesetengah tokoh perniagaan pernah diisytihar muflis beberapa kali, sebagai salah satu cara pengurusan kewangan tahap tinggi. Tetapi, sekiranya anda bukanlah seorang pedagang dengan perniagaan bernilai jutaan ringgit dan tanpa pengetahuan dan khidmat nasihat pakar kewangan bertauliah, eloklah elakkan diisytihar muflis.