Pembayaran BSH Fasa Kedua Mulai Selasa Ini

Kerajaan akan melaksanakan pembayaran fasa kedua Bantuan Sara Hidup 2019 (BSH 2019) mulai 28 Mei 2019 berdasarkan kategori masing-masing yang turut merangkumi bilangan anak tanggungan dan nilai yang akan diterima.
Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam sebuah kenyataan media Jumaat lalu, pembayaran fasa kedua ini akan melibatkan hampir 3.6 juta penerima BSH dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.42 billion.
Kadar BSH yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur mereka.
Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima.
Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan pemohon yang
terdapat pada borang permohonan BSH 2019.
Kementerian Kewangan juga menegaskan bahawa BSH diberi kepada mereka yang benar-benar layak mengikut kategori pendapatan yang telah ditetapkan.
Pada setiap tahun, Kementerian Kewangan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan membuat semakan permohonan BSH termasuk maklumat penerima sedia ada bagi memastikan maklumat yang dikemukakan oleh pemohon adalah tepat dan hanya yang layak sahaja akan menerima BSH.
Bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai 2019 hingga 15 Ogos 2019.
Melalui proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disahkan semula oleh LHDNM.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.