Bayaran BSH Fasa Ketiga Bermula 28 Ogos Ini

Kerajaan mengumumkan pembayaran fasa ketiga Bantuan Sara Hidup 2019 akan dilaksanakan mulai 28 Ogos 2019 (Rabu).
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media berkata, bagi fasa ketiga, pendapatan isi rumah bawah RM2,000 akan menerima BSH berjumlah RM400, pendapatan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM300), manakala pendapatan isi rumah RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima RM100.
“Sejumlah RM2.85 bilion telah disalurkan bagi bayaran fasa pertama (Januari 2019) dan kedua (Mei 2019) BSH 2019 kepada isi rumah yang diluluskan, termasuk bayaran
kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksima 4 orang anak,” katanya.
Anak tanggungan merujuk kepada anak berumur 18 tahun dan ke bawah dan juga anak OKU tanpa had umur.
Pembayaran ini akan melibatkan hampir 3.6 juta penerima BSH dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.23 bilion dimana ia akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank semasa pembayaran fasa kedua BSH 2019.
Bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan dibuka mulai 1 Julai 2019 hingga 15 Ogos 2019 dan pembayaran bagi mereka yang diluluskan rayuannya dijangka akan dibuat pada bulan September 2019.
Pepatah Pepitih: Sila pastikan anda ada dalam senarai penerima, sekiranya layak.