Skim mySalam Diperluaskan ke 10 Hospital

Skim perlindungan nasional B40 atau Skim mySalam telah diperluaskan ke 10 buah hospital termasuk hospital perubatan universiti dan juga hospital angkatan tentera untuk membantu para pesakit mendapat rawatan lanjut daripada doktor pakar, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Menurut Lim dalam sebuah laporan Bernama, skim mySalam kini  diterima di hospital yang dinyatakan setelah pesakit mendapatkan pengesahan doktor pakar untuk menerima manfaat skim tersebut.
Empat buah hospital tambahan tersebut bertempat di Kuala Lumpur iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Hospital di negeri lain termasuk Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan; Hospital UiTM Sungai Buloh; Hospital Angkatan Tentera, Lumut, Perak; Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka; Hospital Tentera Darat, Gemas, Negeri Sembilan dan Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu Sabah.
Skim mySalam telah dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Januari lepas.
Skim perlindungan kesihatan ini adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 3.8 juta individu B40 yang juga menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 berumur 18 hingga 55 tahun, serta pasangan mereka.
Inisiatif ini ialah hasil kerjasama dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings yang telah menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 bilion ke dalam dana amanah mySalam.
Sebagai permulaan, Skim ini ditawarkan melalui Great Eastern Takaful Berhad, pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.
Mereka yang layak akan dimaklumkan melalui SMS. Skim ini menyediakan pembayaran sebanyak RM8,000 sekali sekiranya mereka disahkan menghidap mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal seperti barah, penyakit jantung, distrofi otot, sindrom Alzheimer’s, dan lain-lain.
Pepatah Pepitih: Jagalah kesihatan diri supaya kesihatan kewangan anda juga bertambah baik.
Gali Lagi: