Anda Boleh Mengawal Perbelanjaan Anda

Mengawal perbelanjaan peribadi adalah antara langkah utama dalam pengurusan kewangan seseorang individu. Namun, kita juga tahu walaupun bunyinya mudah untuk dilaksanakan, mengawal perbelanjaan sendiri memerlukan displin serta kecekalan yang tinggi. Kemahiran perbelanjaan peribadi yang baik dapat melindungi seseorang individu daripada terjerat dalam perangkap hutang, yang boleh menjurus kepada masalah kewangan serius jika tidak dikawal. Dalam artikel ini, kami senaraikan beberapa cara yang boleh digunapakai dalam pengurusan perbelanjaan anda – semoga ia bermanfaat!
1) Kenalpasti corak perbelanjaan anda
Selepas anda mendapat gaji dan melunaskan segala komitmen kewangan anda, teliti corak perbelanjaan anda. Dimana wang anda selalunya dihabiskan? Adakah ianya sentiasa diguna untuk hiburan, makanan, pakaian ataupun hal-hal kesihatan? Senaraikan jumlah perbelanjaan anda dan lihat bagaimana anda dapat mengawal atau mengurangkan perbelanjaan dalam aktiviti-aktiti tersebut. Mengetahui kecenderungan perbelanjaan anda dapat memberi gambaran baik terhadap pengurusan kewangan serta diri sendiri.
Cadangan Pepitih: Mulakan jurnal perbelanjaan.
2) Tetapkan sasaran/batasan perbelanjaan anda
Benar, wang anda adalah hak anda untuk dibelanjakan tetapi dengan menetapkan had perbelanjaan peribadi (misalnya RM500 seminggu atau RM50 sehari) anda dapat menerapkan displin untuk tidak berbelanja lebih daripada jumlah yang anda tetapkan. Sekiranya anda tersasar daripada had yang ditetapkan, anda dapat mengenal pasti dimana dan bagaimana wang tersebut telah dibelanjakan.
Cadangan Pepitih: Ketahui perbelanjaan anda dahulu sebelum menetapkan had.
3) Gunakan wang tunai
Penggunaan wang tunai berbanding kad debit atau kad kredit adalah cara paling mudah untuk membantu anda mengawal perbelanjaan. Jika anda telah kehabisan wang tunai, ia menandakan anda tidak boleh berbelanja lagi!
Cadangan Pepitih: Gunakan satu balang/tabung untuk wang syiling. Kumpul sebagai simpanan santai.
4) Elakkan layari laman web membeli- belah
Laman web serta aplikasi membeli belah di telefon atau peranti digital anda akan terus menarik minat untuk berbelanja tanpa disedari. Apatah lagi dengan tarikan potongan harga, serta tawaran-tawaran dalam talian yang menggamit poket anda saban hari. Jika anda mampu mengawal keinginan diri, laman web sebegini tidak akan memberi kesan kepada perbelanjaan anda tetapi jika sebaliknya, lebih baik anda berhenti daripada melayarinya, tutup sebarang bentuk notifikasi dan jika perlu, buang aplikasi tersebut daripada telefon atau gajet anda.
Cadangan Pepitih: Tentukan apa yang hendak dibeli SEBELUM melayari laman beli-belah. Hanya beli apa ada dalam senarai.
5) Kurangkan atau buang perbelanjaan yang tidak perlu
Anda sudah melanggan beberapa jenis bentuk aplikasi berbayar dalam talian, selain daripada langganan pengisian hiburan di rumah (seperti Netflix atau Astro). Pilih pelan atau bentuk hiburan yang sering anda gunakan, dan buang atau kurangkan pelan yang anda jarang guna. Buang kad keahlian gimnasium yang telah anda langgan sekiranya anda mendapati anda tidak menggunakan kemudahan tersebut setelah sekian lama. Lihat berapa banyak perbelanjaan yang dapat anda jimatkan melalui cara ini.
Cadangan Pepitih: Juga semak penggunaan data anda dan pelan pembayaran telefon bulanan anda. Mungkin anda tidak gunakan lebih daripada 3GB data sebulan dan boleh beralih ke pelan termurah syarikat telekomunikasi.
Yang paling penting, ubah pemikiran anda dan yakin bahawa anda dapat mengawal serta menguruskan perbelanjaan anda dengan baik. Masih belum terlambat untuk anda memulakan tabiat kewangan yang teratur demi masa hadapan. Anda boleh melakukannya!