Tanya Pepitih: Kenapa Orang Lain Lulus Pinjaman dan Saya Gagal Walaupun Gaji Saya Lebih Tinggi?

Soalan: Permohonan pinjaman saya di bank telah ditolak berkali-kali oleh semua bank walaupun saya bergaji RM5,000. Rakan sepejabat saya yang bergaji lebih rendah dapat membuat pinjaman. Kenapa ini berlaku?
Jawapan:
Biasanya, terdapat dua faktor penting yang akan menentukan sama ada pinjaman anda akan diluluskan oleh pihak bank.
Faktor-faktor itu adalah Nisbah Khidmat Hutang ( Debt Service Ratio atau “DSR”) dan markah kredit (credit score).
DSR adalah satu kadar yang menjadi penanda ukur kepada setiap bank untuk mengetahui kemampuan seseorang membuat pinjaman berpandukan kepada gajinya. DSR ialah berapa banyak hutang anda perlu bayar sebulan berbanding pendapatan bulanan. Semua bank ada kiraan sendiri tetapi kebiasaannya ialah bayaran hutang bulanan secara keseluruhan tidak boleh melebihi 60% pendapatan.
Contohnya, jika ada membayar pinjaman rumah, kereta dan PTPTN sebanyak RM4,000 sebulan dan bergaji RM5,000 sebulan, DSR anda ialah 4000/5000 = 80%. Ini mungkin terlalu tinggi untuk kebanyakan bank.
Manakala markah kredit pula adalah maklumat terperinci tentang sejarah pinjaman anda, termasuk setiap pinjaman anda yang telah pohon dan ambil setakat ini, bayaran lewat/caj terkumpul, penglibatan anda dalam kebankrapan dan lain-lain lagi.
Menurut agensi RAM Credit Info, sekiranya DSR anda tidak baik, anda masih berpeluang untuk memohon pinjaman tetapi jika markah kredit anda teruk, bank akan menolak permohonan pinjaman anda secara automatik.
Oleh itu, anda perlu membuat keputusan kewangan bijak untuk menguruskan skor kredit anda seperti membayar pinjaman bulanan anda tepat pada masanya, buang tabiat buruk seperti mengumpul bil tertunggak dan memohon lebih banyak pinjaman untuk menampung pinjaman terdahulu.
Ketahui skor kredit anda di beberapa agensi kredit yang diiktiraf seperti RAM Credit dan CTOS Malaysia.
Gali Lagi: