Gaya Hidup

Anggaran Kos Membesarkan Bayi/Anak Kecil

Sudahkah anda membuat persediaan kewangan?

Setiap pasangan yang berkahwin lazimnya menginginkan cahaya mata sebagai penyeri keluarga yang didirikan.

Walaubagaimanapun, persediaan ke alam keibubapaan bukan sahaja menuntut keutuhan mental dan fizikal, malah penting untuk bakal ibu bapa memulakan perancangan kewangan untuk anak mereka demi memastikan masa depan yang terjamin serta kesejahteraan rumahtangga itu sendiri.

Pasangan berkahwin di Malaysia mungkin lebih cenderung untuk memiliki cahaya mata apabila keadaan kewangan mereka stabil. Namun adakalanya rezeki datang secara tidak diduga, maka penting untuk bakal ibubapa memperlengkapkan diri dengan persediaan kewangan yang mencukupi.

Hasil pungutan suara Pepitih di laman media sosial Twitter baru-baru ini, berikut merupakan anggaran kos perbelanjaan bulanan bagi membesarkan bayi dan anak kecil (toddler).

Wajar diingatkan ini adalah anggaran sahaja dan ia subjektif bergantung kepada situasi ibubapa masing-masing.

Anggaran kos perbelanjaan bayi/anak kecil

Susu

Sekiranya bayi atau anak kecil menyusu badan, ibubapa dapat melakukan penjimatan sehingga RM300 sebulan. Harga susu formula pada usia bayi baru lahir (newborn) lazimnya sekitar RM 60 sehingga RM 80 sekotak. Sekiranya seorang bayi memerlukan empat kotak sebulan anggaran susu formula yang diperlukan adalah RM 240-RM320.
Jumlah: RM320

Lampin

Penggunaan lampin pakai buang masih menjadi pilihan ibu bapa di negara ini. Harga sepaket lampin untuk usia bayi baru lahir berbeza dengan harga untuk bayi atau anak kecil. Dianggarkan ibubapa memperuntukkan minimum RM150 (bergantung dengan jenama) sebulan bagi tujuan ini.
Jumlah: RM150

Penjagaan badan (toiletries)

Rata- rata ibu bapa memperuntukkan sekitar RM 50 hingga RM 100 bagi barangan penjagaan seperti sabun mandi, losyen serta sabun botol susu dan penjagaan am lainnya untuk si kecil.
Jumlah: RM 50-100

Tempat duduk kereta

Baru-baru kerajaan menetapkan penggunaan tempat duduk kereta untuk anak kecil bermula tahun hadapan. Perbelanjaan ini merupakan perbelanjaan sekali langsung (one -off) dan harga tempat duduk ini serendah RM200 sehingga ribuan ringgit. Rata-rata ibubapa membuat peruntukkan minima RM250 demi tujuan ini.
Jumlah: RM 250

Perubatan atau insurans

Ini merupakan perbelanjaan kecemasan yang tidak meliputi rawatan imunisasi. Ibubapa biasanya menyimpan minimum RM 100 untuk rawatan luar dan ada yang melanggan insurans untuk anak mereka serendah RM80 sebulan.
Jumlah: RM 80-200

Pengasuh

Ibu bapa bekerja yang tidak mempunyai perkhidmatan asuhan di tempat kerja biasanya memerlukan RM300 hingga RM 800 untuk khidmat pengasih bagi bayi baru lahir. Harga ini juga bergantung kepada lokasi serta jam perkhidmatan.
Jumlah: RM300-800

Jumlah minimum berdasarkan anggaran ini adalah RM1150 sebulan bagi seorang cahaya mata. Semoga artikel ini dapat memberi anda anggaran kos kasar perbelanjaan bulanan bagi membesarkan seorang bayi/anak kecil pada masa kini.

Pepatah Pepitih: Jangan panik! Ada pelbagai cara untuk berjimat semasa membesarkan anak kecil, tanpa berkompromi daripada segi kualiti. Bacalah Pepitih sambil kami meneroka topik ini satu persatu!

Gali lagi:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button