Gaya Hidup

Cara-cara Menyimpan Duit Raya Anak Anda

Musim Hari Raya masih berlangsung dengan meriah, apatah lagi di hujung minggu dengan banyak majlis rumah terbuka dianjurkan demi mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain. Bagi kanak-kanak, musim inilah yang ditunggu-tunggu mereka untuk mengumpul duit raya.

Tular di laman sosial Twitter baru-baru ini apabila seorang kanak-kanak berjaya mengumpul duit raya sehingga RM6,000 dalam masa beberapa hari sahaja. Ke mana dia akan belanjakan wang itu? Adakah untuk membeli permainan, makanan atau melabur ke arah masa depannya sendiri?

Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membantu mengurus duit raya kanak-kanak memandangkan kos pendidikan dan sara hidup yang semakin meningkat. Duit raya yang anak anda kumpul boleh boleh digunakan sebagai modal untuk pelaburan masa hadapan, sekiranya anak itu bersetuju dengan pendidikan ibu bapa yang jelas tentang tabiat kewangan baik.

Berikut adalah antara jenis pelaburan atau simpanan yang sesuai untuk anda bincangkan bersama anak-anak anda:

1) SSPN i dan SSPN-i Plus

Sebaiknya ibu bapa merancang pelan pendidikan anak-anak daripada mereka masih kecil lagi. SSPN adalah skim Simpanan Pendidikan Nasional. Akaun SSPN-i boleh dibuka untuk anak-anak bermula usia anak 1 tahun. Sejak tahun 2012 pihak Perbadaanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) telahpun mewajibkan peminjam supaya ada akaun SSPN untuk membuat pinjaman PTPTN. SSPN-i Plus ialah akaun untuk anak yang berusia 18 tahun ke atas.

Caruman ke dalam SSPN dan SSPN-i Plus juga boleh ditolak daripada taksiran cukai.

2) Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Salah satu simpanan yang paling mudah dan diyakini adalah melalui Amanah Saham Bumiputera (ASB) kerana dijamin kerajaan (simpanan anda tidak akan berkurang daripada nilai asal) dan rendah risiko.

ASB memberi pulangan antara 7-8% secara kebiasaan dan pernah mencecah 14% pada tahun awal penubuhannya. Ini ialah pelaburan risiko rendah terbaik yang ada untuk golongan Bumiputera. Untuk bukan Bumiputera, ada Amanah Saham Malaysia (ASM) yang juga diuruskan oleh syarikat yang sama – Amanah Saham Nasional Berhad.

3) Simpanan insurans takaful

Dewasa ini skim perlindungan insurans berkait pendidikan semakin mendapat tempat di kalangan ibu bapa. Kebanyakan pelan hanya akan membenarkan pengeluaran apabila mencapai tempoh matang supaya simpanan anak-anak terjamin dan mendapat pulangan berpatutan.

4) Simpanan bank

Ini adalah cara yang mudah tetapi mempunyai keuntungan faedah yang rendah iaitu sekitar 1 hingga 3 peratus sahaja. Ibu bapa disarankan untuk membuat pelaburan melalui kaedah simpanan tetap atau ‘fixed deposit’ yang menawarkan pulangan lebih tinggi daripada simpanan bank biasa.

5) Tabung Haji

Bagi ibu bapa beragama Islam, simpanan ini juga adalah simpanan yang berguna kerana sekaligus dapat mendaftarkan anak-anak untuk ibadah haji sebaik sahaja akaun dibuka.

Pelaburan patuh shariah ini mempunyai pulangan pelaburan sederhana namun ia dijamin kerajaan dan ibu bapa diberikan pengecualian cukai taksiran bagi simpanan ini

 

Pepatah Pepitih: Yang lebih penting, ialah mengajar anak-anak tentang tabiat menabung dan tanggungjawab kewangan yang baik. Sikap ini perlu dilentur daripada kecil.

Gali Lagi:

  1. Artikel kami tentang SSPN-i Plus: Klik Sini
  2. Artikel kami tentang ASB: Klik Sini
  3. Pelaburan ASB – Pinjam Jumlah Besar Atau Simpan Setiap Bulan?: Klik Sini
  4. Laman web ASB: Klik Sini
  5. Laman WEB SSPN-i Plus: Klik Sini

Artikel Berhubungkait

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button