Semakin Ramai Golongan Muda Diisytiharkan Muflis

Sejak lima tahun yang lalu, sejumlah 300,958 orang telah diisytiharkan muflis di Malaysia.
Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, golongan berusia antara 35 hingga 44 tahun adalah paling ramai muflis iaitu 34.4 peratus, diikuti golongan berusia 45 hingga 54 tahun (26.37 peratus), diikuti golongan 25-34 tahun (24 peratus).
Ini bermakna 58 peratus golongan yang diisytiharkan muflis adalah daripada golongan berusia 25 hingga 44 tahun.
Perkembangan ini membimbangkan kerana ia dapat mempengaruhi sosioekonomi serta pertumbuhan makro-ekonomi secara menyeluruh. Bagaimana begitu ramai rakyat Malaysia menghadapi masalah kewangan sampai diisytiharkan muflis?
Antara faktor-faktor yang menjurus kepada masalah kewangan serius ialah:
1) Pinjaman kenderaan
Menurut laporan Sinar Harian, punca utama rakyat Malaysia menjadi bankrap ialah kegagalan membayar pinjaman kenderaan.
Pinjaman kenderaan ialah pinjaman sewa-beli yang mengenakan faedah kepada jumlah asal pinjaman. Kalau anda membuat pinjaman RM100,000 dengan kaedah sewa beli, pada kadar faedah 4%, anda sebenarnya membayar 4% daripada jumlah pinjaman asal setiap tahun (4% X 100,000)pinjaman.
Apabila membuat pinjaman untuk membeli kereta, pilihlah kereta yang anda mampu bayar dan rancang pembayaran hutang itu. Ukurlah baju di badan sendiri.
2) Pinjaman peribadi dan penggunaan kad kredit
Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), golongan berusia antara 30 hingga 40 tahun paling ramai memerlukan panduan berkaitan pengurusan kredit.
Ini kerana golongan muda mula mengumpul masalah kredit ketika berusia 20 hingga 30 tahun dengan membuat pinjaman peribadi untuk membayar hutang kad kredit, membiaya gaya hidup dan perbelanjaan perkahwinan.
Pinjaman peribadi sama dengan pinjaman kereta, manakala kad kredit mengenakan antara faedah tertinggi setahun. Berbelanjalah dengan bijak.
3) Skim cepat kaya
Laporan media menyatakan daripada Julai 2013 hingga September 2018, terdapat 24 skim pelaburan cepat kaya di negara ini yang mengakibatkan kerugian sekitar RM4.4 bilion.
Skim piramid atau MLM (multi-level marketing) biasanya menular di kalangan pelajar universiti dan kolej, manakala terdapat golongan muda yang terjebak dalam pelaburan wang digital (cryptocurrency) yang tidak sah. Malah ada yang menghabiskan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk skim-skim yang menjanjikan pelaburan lumayan dengan kadar segera.
Ingat – semua skim piramid dan MLM cepat kaya ialah satu penipuan dan penindasan kepada mereka yang kurang ilmu.
Sila lihat contoh kiraan ini, untuk satu MLM atau skim piramid yang menyuruh setiap ahli mencari empat orang ‘downline’. Sistem ini akan kehabisan manusia pada tingkat ke lima belas, sebab jumlah manusia hanya ada 7.2 billion manakala MLM ini perlukan 7.6 billion orang hanya pada tahap 15 ‘downline’.
Sumber: Reddit
MLM jenis ini terbukti mustahil secara matematik, tetapi masih ada yang percaya.
Dengan mengenal pasti faktor-faktor yang meninggikan risiko menjadi muflis, golongan muda perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan rancang kewangan sebaiknya.
Ukur baju di badan sendiri apabila membuat sesuatu keputusan kewangan, dan rujuklah kepada pakar bertauliah ataupun pihak berkuasa sebelum membuat sebarang pelaburan. Juga, jangan sertai skim cepat kaya.
Pepatah Pepitih: Anda juga boleh membaca Pepitih untuk berita dan artikel kewangan peribadi yang sahih.
Gali Lagi:
- Laporan Sinar Harian: Klik Sini
- Pengumuman AKPK: Klik Sini
- Laporan Berita Harian: Klik Sini
- Laporan FreeMalaysiaToday: Klik Sini
- Artikel Reddit tentang MLM: Klik Sini