InsuransTanya Pepitih

Tanya Pepitih: Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Insurans Nyawa

Soalan: Apakah insurans nyawa dan apakah jenis-jenisnya?

Jawapan:

Insurans nyawa antara insurans yang popular.  Insurans nyawa bukan hanya satu jenis, tetapi ada pelbagai jenis bergantung kepada polisi yang ditawarkan oleh syarikat insurans. Di sini adalah perkara-perkara asas yang anda perlu tahu mengenai insurans nyawa.

Kenapa anda perlukan insurans nyawa?

Jika anda adalah pencari nafkah utama keluarga anda, apakah yang akan terjadi dengan sumber kewangan keluarga jika satu hari nanti anda meninggal dunia ataupun hilang keupayaan kekal (TPD, iaitu situasi di mana anda tidak berkemampuan untuk bekerja lagi)?

Di sinilah gunanya insurans nyawa. Insurans nyawa akan memainkan peranan untuk menggantikan sumber kewangan yang hilang ini kepada benifisiari. Jadi sedikit sebanyak ia akan meringankan beban kewangan keluarga pada masa yang sukar.

Tetapi apakah jenis insurans nyawa yang anda patut ambil?

Apakah beza insurans bertempoh dan insurans sepanjang hayat?

Seperti dinyatakan di atas, ada pelbagai jenis insurans nyawa, mengikut polisi yang ditawarkan syarikat insurans. Dua jenis polisi insurans nyawa yang utama ialah insurans bertempoh dan insurans sepanjang hayat.

Insurans bertempoh akan melindungi anda untuk satu tempoh yang ditetapkan semasa polisi diambil. Tempoh ini mungkin 5 tahun, 10 tahun, 20 tahun, ataupun sebagainya, bergantung pada perjanjian yang ditandatangani semasa polisi diambil. Dalam tempoh ini, jika anda kehilangan nyawa ataupun mengalami TPD, anda ataupun benifisiari anda akan menerima pampasan. Tetapi jika tiada apa-apa yang berlaku selepas tempoh tamat, anda dan benifisiari anda tidak akan menerima apa-apa.

Insurans sepanjang hayat pula akan melindungi anda sepanjang hayat anda selagi anda membayar premiumnya. Benifisiari anda akan menerima pampasan apabila anda kehilangan nyawa, tidak kira bila.

Insurans sepanjang hayat juga biasanya ada sebahagian bayaran disalurkan kepada simpanan atau pelaburan. Jumlah atau peratusan ini daripada premium anda bergantung kepada polisi anda.

Jadi mengapa ambil insurans bertempoh jika insurans sepanjang hayat lebih bagus? Bezanya ialah bayaran premium insurans sepanjang hayat jauh lebih tinggi daripada insurans bertempoh.

Apakah itu premium insurans?

Harga premium (jumlah bayaran setiap bulan) biasanya ditentukan dengan beberapa faktor seperti umur dan gaya hidup. Premium lebih murah jika polisi dibeli pada waktu muda.

Bayaran premium juga lebih murah jika anda mengamalkan gaya hidup sihat berbanding dengan perokok dengan kerjaya yang berisiko tinggi.

Kadar premium akan kekal sama sepanjang masa polisi insurans masih aktif dan anda akan dilindungi insurans selagi anda bayar premium.

Pepatah Pepitih: Sila hantarkan soalan kewangan anda kepada ruangan Tanya Pepitih di emel hello@pepitih.com

 

Artikel Berhubungkait

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button