Kedai Tidak Boleh Menetapkan Caj Minimum/Mengenakan Surcaj Untuk Kad Kredit

Penulis Pepitih melalui pengalaman menjengkelkan hujung minggu lepas apabila ada pekedai yang cuba meletakkan nilai minimum untuk penggunaan kad kredit.
Penulis telah memberitahunya yang Bank Negara Malaysia (BNM) menerangkan syarat-syarat kad kredit (sama ada Visa atau Mastercard) tidak membenarkan penetapan bayaran minimum atau surcaj untuk penggunaan kad kredit. Edit: Syarat-syarat ini ialah skim Visa dan Mastercard sendiri.
Setelah mendengar tuntutan penulis, pekedai telah membenarkan penggunaan kad kredit tanpa caj minima, atau surcaj. Kadang-kadang, ada kedai yang mengenakan caj tambahan 2.5% atau 3% untuk pembeli menggunakan kad kredit.
Hal ini telah ditulis dalam laman web AskLegal dan Says.com. Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri telah membuat satu pengumuman bagaimana hendak melaporkan pekedai yang ingkar. Anda boleh baca kaedah membuat laporan kepada BNM di sini.
Jika ada kedai yang cuba mengenakan caj minimum atau caj tambahan untuk penggunaan kad kredit, ini sebenarnya melanggar syarat-syarat Mastercard dan Visa sendiri. Anda juga boleh melaporkan kepada bank yang mengeluarkan mesin kad kredit yang digunakan oleh pekedai.
Apapun, sekiranya anda ingin melaporkan kepada BNM tentang pekedai yang ingkar, sila ambil maklumat berikut:
- Nama penuh pekedai
- Alamat pekedai
- Nama pemeroleh (ada di bahagain atas slip tansaksi)
- Bukti pekedai mengenakan surcaj atau caj minimum (gambar papan tanda atau slip transaksi yang menyenaraikan surcaj tersebut).
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) ada menjalankan pemeriksaan rawak untuk memastikan pekedai akur dengan undang-undang ini, tetapi sebenarnya cara terbaik untuk memastikan pekedai akur ialah dengan tidak membeli di kedai-kedai yang mengenakan caj minimum atau caj tambahan untuk penggunaan kad kredit. Ini kerana penguatkuasaan atau denda/hukuman kepada pekedai mungkin mengambil masa.
Oleh itu marilah kita gunakan kuasa kita sebagai pengguna untuk memastikan tiada pekedai yang mengambil kesempatan ke atas kita semua. Jangan beli di kedai yang menetapkan peraturan yang tidak adil dan sengaja diada-adakan.
Pepatah Pepitih: Ketahui hak anda supaya tidak menjadi mangsa.
Gali Lagi: