Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 Dilancarkan

Kerajaan telah melancarkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di seluruh negara bermula minggu lalu.
Melalui PeKa B40 ini, penerima yang layak akan dapat menjalani saringan kesihatan dan juga menerima bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.
Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, sehingga 12 April lepas, terdapat 423 klinik perubatan swasta umum (GP) yang telah berdaftar sebagai ‘Klinik PeKa B40’.
PeKa B40 turut memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam dan swasta dalam membantu kumpulan B40 dengan mengutamakan perkhidmatan klinik GP yang sudah berdaftar.
“Penerima yang layak boleh menjalani saringan kesihatan di klinik GP yang memaparkan pelekat khusus PeKa B40,” ujar Dr Dzulkefly dalam sebuah laporan berita yang dipetik daripada Bernama.
Jelasnya, pendaftaran sebagai Klinik PeKa B40 akan berterusan selama skim ini berjalan.
Menerusi Peka B40 juga, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, berusia 50 tahun ke atas pada 2019 adalah layak secara automatik untuk menyertai skim ini.
Saringan kesihatan ini adalah percuma dan tiada pendaftaran khusus diperlukan.
Semakan kelayakan dan pelbagai maklumat lanjut boleh didapati di laman web Peka B40 atau dengan menghubungi 03-2730 7575.
RM100 juta diperuntukkan melalui Belanjawan 2019 untuk PeKa B40. Berdasarkan laman web Peka, skim ini dianggarkan dapat menampung 800,000 penerima sebagai permulaan.
Pepatah Pepitih: Jagalah kesihatan dengan baik, sebab jika kita jatuh sakit, kos perubatan boleh jadi amat besar.
Gali Lagi: