Turun Had Harga Rumah Bukan Untuk Projek Baharu

Antara perancangan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2020 baru-baru ini, cadangan untuk menurunkan had harga rumah kepada RM600,000 untuk warga asing telah mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak.
Walau bagaimanapun, menteri kewangan Lim Guan Eng telah pun memberi penjelasan bahawa langkah pengurangan had nilai bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar kepada RM600,000 daripada RM1 juta hanya untuk unit sedia ada yang masih tidak terjual.
Lim turut dilaporkan berkata Kementerian Kewangan akan terus memantau pelaksanaan kelonggaran tersebut bagi memastikan objektif dasarnya tercapai.
Pengurangan nilai had tersebut, kata Lim, tidak menjejaskan peluang buat warganegara Malaysia dalam memiliki rumah sendiri.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan negeri berhak menetapkan had nilai harga rumah kepada pembeli asing mengikut kesesuaian dan kemampuan sendiri.
“Mereka boleh mengkaji, apakah nisbah yang terbaik di negeri-negeri mereka. Contohnya hartanah di Perlis dan Pulau Pinang, kedua-duanya macam langit dan bumi. Itu perkara yang perlu diperhalusi dan diteliti oleh setiap negeri,” katanya dalam sebuah laporan.
Had RM600,000, tambah Zuraida, adalah panduan kerajaan bagi peringkat nasional.
Pepatah Pepitih: Sila perhatikan harga pasaran hartanah untuk rumah pada harga RM600,000 ke atas sebelum membuat pelaburan.
Gali Lagi:
- Laporan Berita Harian: Klik Sini
- Laporan Sinar Harian: Klik Sini