Apa Kesan Gojek Kepada Pengguna di Malaysia?

Baru-baru ini kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk meluluskan pelaksanaan e-panggilan motosikal seperti Gojek yang berasal daripada Indonesia.
Keputusan ini sekaligus membolehkan syarikat tempatan Dego Ride untuk kembali beroperasi setelah diharamkan sejak tahun 2017.
Pelbagai pihak telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan seperti faktor keselamatan penunggang, kesesuaian dalam agama serta persaingan yang bakal diwujudkan kepada industri teksi negara.
Tetapi tahukah anda, sebelum Dego Ride diharamkan di Malaysia pada 2017, pengasas syarikat tersebut, Nabil Faisal Bamadhaj berkata penunggang “mat motor” yang berkecimpung dalam bidang tersebut dapat menjana pendapatan sehingga RM3,500 sebulan. Ini pastinya membuka peluang kepada mereka yang mencari pekerjaan dan dengan pendapatan pada tahap itu, sekurang-kurangnya boleh menjadi pekerjaan sampingan sementara mencari kerja tetap.
Kepada pengguna pula, perkhidmatan e-panggilan motosikal ini memberi pilihan untuk menangani kesesakan lalulintas, menjadi penghubung “last mile connectivity” daripada stesen LRT/MRT dan menjimatkan kos pengangkutan. Dengan kadar tambang serendah RM2.50, dijangkakan perkhidmatan seperti Gojek atau Dego Ride akan memberi persaingan kepada syarikat e-panggilan seperti Grab dan MyCar.
Selain daripada itu, syarikat tersebut turut menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan dan dokumen, yang akan memberi saingan kepada khidmat kourier dan pos sekarang.
Yang penting, kerajaan perlu memastikan perkhidmatan ini selamat, tidak disalahguna dan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan. Faktor keselamatan penumpang juga wajib diberi tumpuan.