
Kerajaan sedia untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan bank khas untuk memudahkan proses pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah.
Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, cadangan itu perlu mengikut syarat yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu bank seumpama itu perlu mempunyai dana atau modal mencukupi untuk memenuhi permintaan pinjaman.
“Cadangan akan diambilkira sekiranya BNM berasa perlu untuk membolehkan lebih banyak pinjaman berkaitan perumahan dapat dibiaya. Tetapi kalau kita lihat apa yang diterima pakai BNM adalah kena pastikan bank itu dapat memainkan peranan sewajarnya,” beliau dilaporkan berkata di Dewan Rakyat.
Selain daripada itu, Lim turut mengumumkan bahawa setakat 31 Oktober tahun ini, lebih 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bernilai RM596 juta diluluskan.
Dana berkenaan membolehkan pembeli rumah pertama mendapat pembiayaan institusi kewangan pelaksana melalui kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.