Grab Malaysia Tawar Bantuan, Kementerian Pengangkutan Longgar Peraturan Kepada Pemandu e-Hailing

Grab Malaysia telah menawarkan pembayaran balik tunai kepada pemandu e-hailing yang sedang melalui proses permohonan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
Dalam kempen yang dipanggil #BeratSamaDipikul, Grab mengatakan bahawa ia telah bekerjasama dengan klinik-klinik di seluruh negara untuk menetapkan kos pemeriksaan perubatan yang diperlukan sehingga RM20.
Selain daripada itu, Grab turut akan membayar balik jumlah rawatan kepada mana-mana pemandu atau pemohon.
Pemandu e-hailing syarikat tersebut juga akan diberikan subsidi RM50 awal untuk latihan PSV di sekolah memandu. Pada masa ini, kos latihan adalah sekitar RM120 hingga RM150 untuk sesi enam jam yang diperlukan.
Grab juga akan menanggung kos pemeriksaan awal Puspakom sepenuhnya sebanyak RM70 kepada pemandu yang telah berkhidmat lebih tiga tahun dengan syarikat terbabit.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dilaporkan telah memberi kelonggaran kepada pemandu e-hailing untuk menjalani kursus secara dalam talian dan tidak perlu ke kelas untuk mendapatkan Lesen Vokasional sebelum 12 Julai depan, asalkan tempoh enam jam kursus dapat dilengkapkan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam sebuah laporan berita berkata pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sedia turun padang mengendalikan kursus enam jam kepada pemandu berkenaan di mana-mana lokasi dipilih operator e-hailing di seluruh negara.
Langkah itu bertujuan memudahkan pemandu e-hailing, dan pihaknya sedia bekerjasama dengan operator bagi menganjurkan kursus enam jam tanpa memaksa pemandu menghadiri kelas secara fizikal.
Pepatah Pepitih: Langkah baik oleh Grab! Kepada pemandu Grab, ambillah peluang ini.
Gali Lagi: