PTPTN Minta Idea Anda Bagaimana Mendapatkan Kembali Pinjaman

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan dalam sebuah laporan berkata semua pihak dialu-alukan untuk mengutarakan pandangan melalui Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) yang disediakan di laman web rasmi PTPTN sehingga 13 Jun nanti. Sebarang cadangan boleh disalurkan di www.ptptn.gov.my/kertas-
Pihak PTPTN seterusnya akan membentangkan saranan-saranan serta perkongsian ini dengan Kementerian Pendidikan.
Minggu lalu, pihak PTPTN telah mengumumkan akan mempertimbangkan beberapa langkah bagi memastikan peminjam akan membayar semula pinjaman yang dibuat, sekaligus membantu mengurangkan hutang yang ditanggung perbadanan tersebut.
Antara langkah-langkah yang dipertimbangkan termasuk sekatan memperbaharui pasport, lesen memandu, cukai jalan kenderaan, pendaftaran perniagaan dan sekatan kelulusan pinjaman kepada ahli keluarga terdekat peminjam yang culas.
Wan Saiful turut dilaporkan berkata, sebanyak 10 idea dihasilkan menerusi beberapa sesi perbincangan meja bulat dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli kewangan, Ahli Parlimen, agensi kerajaan dan kumpulan mahasiswa antara Januari hingga Mac lalu.
Walau bagaimanapun, cadangan sekatan ke luar negara yang pernah dilaksanakan oleh PTPTN dahulu telah mendapat reaksi negatif pelbagai pihak, termasuk daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengatakan langkah itu kurang bijak.