BeritaHartanah

Peminjam Disenarai Hitam PTPTN Boleh Mohon Beli Rumah Pertama

Ada pelbagai kemudahan dan pelepasan untuk pembeli rumah pertama yang diberi oleh kerajaan. Ini perkembangan baik untuk mereka yang ingin memiliki hartanah dan juga untuk pemaju. Jika pasaran hartanah berjalan lancar, ekonomi mungkin berkembang. Namun, sekiranya pembeli rumah tidak membayar pinjaman, ini akan meningkatkan risiko kemelesetan ekonomi.

Terbaru dalam senarai kemudahan untuk pembeli rumah pertama, peminjam yang telah disenarai hitam dalam Sistem Rujukan Maklumat Berpusat (CCRIS) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini berpeluang untuk memohon membeli rumah pertama.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, golongan ini akan dikeluarkan daripada senarai tersebut untuk permohonan pembelian rumah sahaja – bukan untuk pembelian lain seperti kereta dan sebagainya.

Zuraida turut menyatakan bahawa beliau sudahpun berbincang tentang perkara ini bersama pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Han.

Laporan Harian Metro turut memetik Zuraida berkata bahawa beliau akan mengumumkan perkara ini dengan lebih lanjut pada majlis Pelancaran Skim Perumahan Belia pada pertengahan Oktober nanti.

Dalam laporan berasingan, timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata peminjam yang telah disenarai hitam oleh CCRIS tidak mempunyai sebarang masalah untuk memohon pinjaman membeli rumah, namun semuanya turut bergantung kepada budi bicara bank terlibat.

“Kita di pihak Bank Negara Malaysia (BNM) akan berbincang dengan PTPTN dan pihak berkaitan tentang perkara itu, cuma saya perlu tekankan CCRIS merupakan sistem yang mana pihak bank perlu melaporkan pinjaman tertunggak peminjam dan bukan satu mekanisme untuk menyenaraihitamkan mereka.

“Kalau ada sebarang pinjaman baharu yang perlu dibuat, ia adalah berdasarkan budi bicara bank itu sendiri sama ada mahu meluluskan permohonan pinjaman atau tidak,” Adnan dilaporkan berkata kepada Bernama.

Gunakanlah kemudahan ini dengan sebaiknya dan ingat – silalah bayar semua pinjaman anda dengan bertanggungjawab.
Pepatah Pepitih: Lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.
Gali Lagi:
1. Laporan Harian Metro: Klik Sini
2. Laporan Astro Awani: Klik Sini
Tag

Artikel Berhubungkait

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button
Close
Close