Mana Perlu Anda Beli Dahulu – Rumah Atau Kereta?

Persoalan sama ada perlu membeli rumah atau kereta terlebih dahulu ialah soalan lazim untuk golongan muda. Ini adalah dua pembelian paling besar dan memerlukan komitmen serius dan pembayaran balik hutang besar selama bertahun-tahun.
Jawapan pendeknya – rumah atau apa-apa unit hartanah, sebab nilai hartanah insyaAllah akan naik dalam jangkamasa panjang dan harga kereta akan turun dalam jangkamasa yang sama. Tetapi anda masih perlu berhati-hati dalam andaian ini terutama pada masa pasaran sekarang.
Harga kereta akan turun sebaik sahaja anda memandu kereta keluar dari kedai. Menurut laman web Carsome, kereta yang mempunyai susut-nilai paling rendah (tahun 2011-2016) ialah Perodua MyVi 1.5L, Toyota Vios, Toyota Innova, Honda City, Honda Civic dengan susut nilai 55-58% selepas lima tahun. Kereta model lain susut sehingga 60%, 70% atau lebih.
Namun, harga hartanah juga tidak dijamin akan naik, dan pasaran sekarang sedang menurun. Malah, menurut PropertyGuru, harga rumah kediaman telah menyusut sebanyak 2.5% daripada tahun 2017 hingga suku ketiga 2018.

Menurut data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pula, Indeks Harga Rumah Malaysia (MHPI) berada pada tahap 1.7% pada suku pertama 2018, berbanding purata tahunan 6.5% pada tahun 1990-2016.
Maksudnya?
Ini bermakna ada kemungkinan untuk harga rumah atau hartanah untuk turun/kekal dalam jangkamasa pendek, tetapi jika anda melihat jangkamasa panjang 10-15 tahun atau lebih, harga hartanah biasanya akan naik.
Dengan adanya aktiviti memperkasakan pengangkutan awam dan teknologi moden seperti aplikasi Grab, anda boleh memilih untuk menumpukan usaha memiliki rumah dan menangguh pembelian kereta sehingga anda mampu.
Sekarang juga ada insentif pembelian rumah seperti pengecualian duti setem untuk surat cara pindah milik rumah di bawah harga RM1 juta pada separuh pertama tahun 2019, dan diskaun harga 10% oleh sesetengah pemaju perumahan.
Pepatah Pepitih: Pinjaman kereta atau pinjaman perumahan biasanya ialah komitmen kewangan paling tinggi untuk anda. Timbangkan betul-betul sebelum anda membuat keputusan.
Gali Lagi: